Oleh ARMIN AZHARI SALEH

“SAYA mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan menganjurkan acara seumpama ini pada peringkat kebangsaan,” kata Dato’ Dr. Mah Hang Soon dalam majlis penutupan Karnival Bahasa Melayu SJK(C) dan SJK(T) Piala Pengarah Pendidikan Perak di Tapah pada 12 Ogos 2017 yang lalu.

Dato’ Dr. Mah Hang Soon ketika menyampaikan ucapan dalam majlis perasmian penutupan Karnival Bahasa Melayu SJK(C) dan SJK(T) Piala Pengarah Pendidikan Perak.

Dato’ Dr. Mah Hang Soon ketika menyampaikan ucapan dalam majlis penutupan Karnival Bahasa Melayu SJK(C) dan SJK(T) Piala Pengarah Pendidikan Perak.

Menurut ahli Majlis Kerajaan Negeri Perak itu lagi, karnival seumpama itu mampu melahirkan generasi muda berbangsa Cina dan India yang pandai menggunakan bahasa kebangsaan, selain bahasa ibunda mereka. Oleh itu, beliau mahu Jabatan Pendidikan Perak dan Pejabat Pendidikan Daerah mengatur lebih banyak program untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dr. Mah turut menyarankan pihak yang berkenaan supaya mengadakan karnival seumpama itu pada peringkat sekolah menengah. Dengan hal yang demikian, barulah ada kesinambungan daripada peringkat rendah kepada peringkat menengah.

Semasa berucap dalam majlis perasmian pembukaan, Osman Mohamed Bahari, Ketua Sektor Jaminan Kualiti, Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang, berkata bahawa Karnival Bahasa Melayu SJK(C) dan SJK(T) dianjurkan untuk memenuhi aspirasi dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Katanya lagi, karnival ini menjadi mekanisme untuk meningkatkan minat murid terhadap bahasa Melayu.

Ulasan hakim oleh Munsyi Dewan, Chai Loon Guan.

Ulasan hakim oleh Munsyi Dewan, Chai Loon Guan.

Dalam ulasan hakim, Munsyi Dewan Chai Loon Guan mengesyorkan agar cerpen atau karya Sasterawan Negara diadaptasikan untuk pertandingan teater solo. Dengan berbuat demikian, guru dan murid dapat mengenali Sasterawan Negara dengan lebih dekat.

“Pada setiap tahun, peserta teater solo mempersembahkan cerita binatang atau cerita rakyat,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya bengkel teater solo diadakan sebelum pertandingan berlangsung. Bengkel itu mampu memberikan pengetahuan kepada peserta tentang cara mempersembahkan teater solo dengan lebih baik. “Dewan Bahasa dan Pustaka, melalui Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, berupaya untuk menganjurkan bengkel ini,” kata Loon Guan.

Peserta Pertandingan Kuiz Bahasa.

Peserta yang menyertai pertandingan kuiz bahasa.

Kinta Utara dinobatkan sebagai juara pertandingan kuiz pada tahun ini. Wakilnya, SJK(C) Ave Maria Convent, Ipoh, menjuarai pertandingan tersebut buat julung kalinya. Dengan kejayaan tahun ini, Kinta Utara telah menjadi johan sebanyak tiga kali selepas kejayaan berturut-turut pada tahun 2013 dan 2014.

Sementara itu, wakil kedua Kinta Utara, SJK(C) Sam Tet, Ipoh, hanya menduduki tempat ketiga. SJK(C) Tong Wah dari Kerian pula menjadi naib johan, manakala wakil Kuala Kangsar, SJK(C) Simpang Jalong, mendapat tempat keempat. Wong Jin Zhe dari SJK(C) Tong Wah diisytiharkan sebagai peserta kuiz terbaik.

Sejumlah 20 buah pasukan dari 10 buah daerah menyertai pertandingan kuiz pada tahun ini.

Dalam pertandingan teater solo, kedua-dua orang wakil Hilir Perak berjaya menempatkan diri mereka dalam kelompok empat peserta terbaik. Danesswaran Muniandy dari SJK(C) Wan Keow, Langkap, menjuarai pertandingan itu setelah mempersembahkan cerita “Pak Kaduk Moden” dengan cemerlangnya apabila menewaskan 19 orang peserta lain. Inilah kali kelima berturut-turut Hilir Perak berjaya menjuarai pertandingan teater solo.

Gelaran naib johan diraih oleh wakil Hulu Perak, Mhukiransri Tanabalan dari SJK(T) Keruh, manakala wakil Hilir Perak, Et Jot Singh, dari SJK(C) Yuk Kwan mendapat tempat ketiga. Rakan sedaerah Danesswaran, Paveiin Preman, dari SJK(T) Sithambaram Pillay menduduki tempat keempat.

Pertandingan Bercerita.

Peserta pertandingan bercerita sedang membuat persembahan.

Karnival Bahasa Melayu SJK(C) dan SJK(T) Piala Pengarah Pendidikan Perak pada tahun ini dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Perak dan Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang. Yang difahami ialah bahawa hanya Jabatan Pendidikan Perak yang menganjurkan karnival seumpama ini.

Karnival tahun ini mencipta sejarah apabila menggunakan nama Karnival Bahasa Melayu. Dalam lima karnival sebelum ini, nama Karnival Bahasa Malaysia digunakan.

Pada tahun hadapan, Pejabat Pendidikan Daerah Manjung akan menjadi tuan rumah karnival ini pula.

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1292367
    Visit Today : 1347
    This Month : 48504
    Total Visit : 1292367
    Hits Today : 11315
    Total Hits : 5957276
    Who's Online : 12
  • Kategori